Senisah Majilin Memulakan langkah dalam MyStarz LG

“Gemuruh jiwa, semangat membara, dari puncak ingin ke angkasa, berkalungkan bintang berkelipan, menyerlah jauh dari yang biasa” Itulah lirk korus bagi lagu Gemuruh nyanyian Faizal Tahir ini. Mendengarkan saja lagu ini, kita pasti mengetahui bahawa lagu ini merupakan lagu tema bagi satu rancangan realiti TV yang baru saja membuka tirainya beberapa minggu lalu.


Musim ketiga Mystarz LG yang dimulakan dengan Episod Pengenalan Peserta lelaki telah disiarkan secara lansung di TV3 pada 8 November lalu. Ia diikuti dengan Episod pengenalan Peserta Wanita pada 15 November 2009. Konsert Penyingkiran (Eliminasi) bagi peserta lelaki pula telah diadakan pada hari Ahad lalu, 22 November 2009, di mana Farid merupakan peserta pertama yang tersingkir.

Pada musim ini, dua anak negeri Sabah telah terpilih sebagai peserta Top 10 rancangan ini, dan salah seorangnya ialah Senisah Majilin atau lebih mesra dengan panggilan Chill. Seorang lagi ialah Jaymerral Henry ataupun Jay. Bagi peminat Pertandingan Sugandoi Kaamatan Peringkat Negeri, ramai yang mungkin mengingati Senisah sebagai pemenang tempat ke-3 pertandingan tersebut baru-baru ini yang di lansungkan di Dewan KDCA Penampang. Senisah juga merupakan adik kepada pemenang tempat kedua pertandingan yang sama, iaitu Siti Nurzila Majilin pada tahun 2008.



Untuk musim ini Senisah telah diperuntukkan dengan nama pentas yang lain, bukan menggunakan nama sebenarnya tetapi CHIND. Ketika pertama kali mendapat nama ini, Senisah mengakui agak janggal dengan nama ini.

“Kalau di rumah dan dikalangan kawan-kawan saya biasa digelar Chill. Saya ada meminta pihak producer untuk menggunakan nama timangan ini namun atas alasan-alasan tertentu pihak producer tidak membenarkan Senisah untuk menggunakan nama Chill tetapi sebaliknya memberikannya dengan nama pentas, Chind.”

“Saya pada mulanya tidak biasa dengan nama ini, tetapi setelah lama dipanggil oleh rakan sebilik dan kawan-kawan yang lain di MyStarz LG, saya berasa selesa dengan nama pentas ini”, tambah Senisah.

Gadis kelahiran daerah Ranau, tetapi menetap di Sook, Keningau ini berasal daripada keluarga yang sememangnya meminati industri seni, terutamanya dalam bidang muzik. Selain kakaknya, Siti Nurzila, seorang adik lelaki (Jumidin) dan dua adik perempuannya (Suzina dan Suzinie) juga aktif dalam bidang nyanyian dan sering mengikuti pertandingan-pertandingan nyanyian baik di Keningau mahupun di Bandaraya KK. Ibu bapa Senisah iaitu Majilin Samad & Martina Garot berasal dari Kg Silou, Ranau juga menyokong penuh aktiviti anak-anaknya sehingga sanggup menemani sekiranya terdapat pertandingan yang di adakan di KK.

Senisah mula dikenali ketika mengikuti KE Next Top Entertainer (KENTE 1) yang di adakan di Penampang. Walaupun tidak berjaya melepasi peringkat saringan namun persembahan bertenaga Senisah telah memikat beberapa penonton pada malam tersebut. Untuk rekod, Senisah merupakan peserta pertama dalam saringan pertama bersama-sama dengan Johan KENTE 1, Carrey Oliver.

Walaupun agak kecewa dengan keputusan itu, Senisah tidak putus asa dan kali ini mencuba lagi pada pertandingan Sugandoi peringkat daerah Kecil Sook. Dia memenangi pertandingan ini dan mengekalkan gelaran yang dimenangi oleh kakaknya pada tahun 2008. Kemenangan ini melayakkan Senisah untuk mewakili Daerah Kecil Sook ke pertandingan Sugandoi Kaamatan Peringkat Negeri Sabah di Penampang. Langkah Senisah amat baik apabila berjaya melepasi peringkat Separuh akhir dan seterusnya mendapat tempat ketiga pertandingan tersebut.

Sekadar mencuba nasib, Senisah telah menyertai ujibakat MyStarz LG musim ke 3 di sebuah pusat membeli belah di Kota Kinabalu. Nasib menyebelahi Senisah dengan persembahan mantap membuatkan dia terpilih sebagai Top 24 dan seterusnya menjadi 10 peserta akhir rancangan ini.

Untuk rancangan ini, Senisah telah memulakan persembahan Live dengan membawakan lagu Ella yang berjudul Resah. Menurut Senisah lagu ini sukar untuk dibawa kerana memerlukan ‘attitude’ dan juga tenaga. Senisah juga mengakui amat jarang mempersembahkan lagu-lagu genre rock, namun cabaran ini diambil dan dilaksanakan dengan baik. Bagi Konsert Eliminasi yang akan di adakan pada hari ahad ini, 29 November 2009, Senisah akan mempersembahkan lagu yang dari Dato’ Siti Nurhaliza yang berjudul Pelangi Petang (nyanyian asal Sudirman Hj. Arshad).

Ketika dihubungi baru-baru ini, Senisah risau dengan keadaan kesihatannya dimana dia telah mengalami demam panas yang secara tiba-tiba dan tidak dapat turun untuk membuat latihan selama beberapa hari. Walau bagaimana pun, Senisah memberi jaminan akan cuba untuk memberikan yang terbaik darinya kepada penyokong-penyokongnya.

Konsert Eliminasi bagi peserta wanita akan diadakan pada hari Ahad, 10:30mlm di TV3. Kepada penyokong-penyokong Senisah Majilin ataupun Chind, anda bolehlah mula mengundi pada hari Sabtu, 28 November 2009 jam 7:30mlm sehinggalah konsert live pada hari berikutnya, Ahad, 29 November 2009.

Mampukah Senisah meneruskan langkah yang telah dia mulakan pada pertandingan MyStarz LG Musim 3 ini? Anda adalah penentunya, kerana format pertandingan kali ini berdasarkan 100% undian penonton. Dua 3 peserta tercorot setiap minggu eliminasi akan menghadapi pilihan juri samada akan terus kekal atau tersingkir.

“Sokonglah saya”, itulah ungkapan dari Senisah ketika ditanya berkenaan dengan harapannya terhadap penonton rancangan ini. Cara-cara menghantar undian adalah seperti berikut. Taipkan LG1 (1 undian)/LG5 (5 Undian)/ LG 10 (10 Undian) CHIND dan hantarkan kepada 33399. Contoh LG5 CHIND 33399. Sama-samalah kita menyokong Senisah Majilin untuk mencapai impiannya.



Teks dan gambar oleh: markiekadus (http://markiekadus.blogspot.com)

This entry was posted in , , , , , , , , , , , , . Bookmark the permalink.